Khamis, 8 Mac 2012

Projek Taman Burung Terbesar Asia Di Melaka....




Gambar Contoh Projek Taman Burung....


MELAKA 6 Sept. - Sebuah taman burung terbesar di Asia akan dibina di Taman Botanikal, Ayer Keroh di sini melibatkan kos bernilai RM30 juta.
Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam berkata, taman seluas 1.8 hektar itu akan mula dibina menerusi peruntukan Kementerian Pelancongan hujung bulan ini.
Menurutnya, Syarikat Terbit Serba Boleh Sdn. Bhd. (STSB) telah dilantik untuk membina taman burung dan dijangka memakan masa 18 bulan untuk disiapkan.
"Taman burung ini akan menjadi satu lagi mercu tanda tarikan pelancong datang ke negeri ini kerana ini merupakan taman burung terbesar di Asia.
"Taman ini juga lebih besar daripada Jurong Bird Park yang terdapat di Singapura dan Taman Botanikal dipilih kerana mempunyai hutan hujan tropika yang amat sesuai untuk menempatkan pelbagai spesies burung di rantau ini," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas membuat lawatan ke tapak pembinaan taman burung di Taman Botanikal, Ayer Keroh di sini, hari ini.
Mohd. Ali berkata, taman itu akan menempatkan kira-kira 300 spesies burung dan enam spesies utama burung kakak tua yang akan menjadi tarikan utama.
Selain menempatkan burung-burung tempatan katanya, pelbagai spesies burung dari rantau Asia akan turut terdapat di taman ini.
Katanya, antara spesies burung itu ialah burung kasih, bangau kendi, enggang badak, nuri pekicau, kakak tua jambul kuning, nuri jalur kuning, burung unta, burung upeh, burung bangau dan sebagainya.
"Kita telah minta STSB untuk menyiapkan taman ini dalam tempoh setahun dan bukannya 18 bulan. Jika siap nanti, ia mampu menarik kedatangan 1 juta pelancong setahun," katanya.
Beliau berkata, taman tersebut akan dilengkapi restoran, kedai menjual cenderamata, tandas, surau, taman permainan kanak-kanak, kawasan rehat, pentas, tempat letak kereta dan bas.

Melaka mahu contohi kejayaan Taman Burung Jurong.......


Mohd. Ali Rustam memberi makan kepada burung jenis scarlet macaw ketika melawat Taman Burung Jurong, Singapura, kelmarin. - BERNAMA

SINGAPURA 18 Dis. — Kerajaan Melaka akan mencontohi pengurusan Taman Burung Jurung, di sini yang berjaya menarik bilangan pelancong lebih ramai untuk diaplikasikan di Taman Burung Melaka, yang kini sedang dalam pembinaan.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam berkata, Taman Burung Jurung yang dikenali sebagai Jurung Bird Park sebagai mempunyai himpunan spesis dan bilangan burung antara yang terbesar di dunia sejak dibuka pada 3 Jan 1971.

"Saya amat tertarik dengan latar belakang semula jadi serta penambahbaikkan yang dilakukan oleh taman burung ini saban tahun yang akan dicontohi kerajaan negeri," katanya kepada pemberita selepas melakukan lawatan ke taman burung itu di sini, petang semalam.

Pada lawatan selama tiga jam, beliau diberi taklimat oleh Ketua Pegawai Eksekutif Rizab Hidupan Liar, Isabella Loh serta Pengurus Besar Jurung Bird Park, R. Raja Segran.

Taman Burung Melaka yang akan menghimpunkan 300 spesies, dibina di kawasan seluas 1.8 hektar di Taman Botanikal, Ayer Keroh dan dijangka mula beroperasi pada awal 2013.

Produk terbaru pelancongan Melaka itu adalah sebahagian daripada projek pembangunan landskap dan kemudahan pelancongan fasa kedua yang akan dilaksanakan di Taman Botanikal Melaka seluas 92.5 hektar.

Beliau berkata, Melaka akan mendapatkan input Taman Burung Jurung yang kekal menjadi tarikan kepada pelancong walaupun sudah 40 tahun beroperasi.

"Saya juga amat tertarik dengan persembahan burung kakak tua di sini yang boleh bertutur pelbagai bahasa serta burung jenis scarlet macaw (juga spesis burung kakak tua) yang berupaya terbang untuk menyampaikan mesej ditulis di atas kertas," katanya.

Beliau berkata, Melaka turut berminat untuk membeli monorel taman burung itu sejauh 1.72 kilometer yang dipasang di Taman Botanikal Melaka.

"Kita akan lihat sama ada monorel itu sama ada sesuai untuk digunakan," katanya. - BERNAMA



Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...