Jumaat, 11 Mei 2012

Taman Dinosaur yang mula dibuka pada 1 Mei






Gambar Replika Dinosaur......

MELAKA: Pengunjung yang beriadah ke Taman Tema Air dan Resort Melaka Wonderland, Ayer Keroh, di sini, bukan saja dapat menikmati keseronokan bermandi-manda di situ, malah turut berpeluang melihat lebih dekat replika haiwan raksasa dinosaur yang pernah menghuni bumi ini jutaan tahun lalu.

Ini berikutan pusat pelancongan itu kini mempunyai tarikan terbaru iaitu Dinosaur Park yang dibuka kepada orang ramai pada 1 Mei lalu, menempatkan beberapa replika spesies dinosaur seperti Tyrannosaurus, Triceratops dan Omeisaurus.

Jurucakap Taman Tema Air dan Resort Melaka Wonderland berkata, replika dinosaur dipamerkan di pusat pelancongan terbabit seberat 1,500 kilogram mempunyai ketinggian mencecah 4.1 meter dan panjang sehingga 10 meter, sekali gus membuat pengunjung berasa begitu teruja menyaksikannya.

Katanya, replika dinosaur itu juga dibina seakan sama dengan ciri-ciri yang terdapat pada dinosaur asal.

“Selain menikmati keseronokan bermain permainan air yang mencabar bersama keluarga serta dihiburkan lagi dengan maskot Melaka Wonderland, pengunjung juga berpeluang menerokai pengalaman baru yang pasti menyeronokkan di Dinosaur Park.

“Di Dinosaur Park pengunjung bukan saja boleh berasa teruja dengan bunyi-bunyian spesies terbabit, malah didedahkan dengan informasi mengenai spesies dipamerkan itu,” katanya.

Beliau berkata, waktu operasi Dinosaur Park sama dengan waktu operasi Taman Tema Air Melaka Wonderland dan pengunjung boleh mendapatkan tiket masuk ke Dinosaur Park di kaunter taman tema air disediakan.

Harga tiket masuk ke Dinosaur Park bagi dewasa RM15 seorang manakala kanak-kanak RM10.

Sementara itu, Taman Tema Melaka Wonderland juga menawarkan pakej (taman tema air dan dinosaur park) kepada pengunjung yang berminat masuk ke taman terbabit pada hari bekerja iaitu RM36 bagi dewasa dan RM30 kanak-kanak manakala pada hujung minggu serta cuti sekolah dan cuti umum harga tiket dewasa RM40 dan kanak-kanak RM35.
Sumber Dari Akhbar Metro....



Gambar Reaksi Pengunjung.....


MELAKA 7 Mei - Taman Tema & Resort Melaka Wonderland di Ayer Keroh dekat sini bukanlah destinasi asing bagi setiap pelancong yang menjejakkan kaki ke negeri pelancongan ini.

Buktinya, sejak ia mula beroperasi pada Mei 2010, lebih 800,000 pengunjungi taman tema air dan resort bernilai RM80 juta itu.

Terdapat sembilan jenis permainan berasaskan air termasuk 16 gelongsor dan sebuah kolam air yang dilengkapi ombak dan pelbagai lagi mainan mencabar di taman itu.

Setelah puas melakukan aktiviti air, pengunjung boleh mencabar diri memandu buggy di trek tanah yang turut terdapat di dalam taman tema seluas 9.3 hektar.

Kini setelah hampir dua tahun beroperasi, Melaka Wonderland mempelbagaikan lagi tarikannya bagi memastikan pengunjung tidak bosan dihidangkan permainan serupa setiap kali berkunjung ke situ.

Pengurus Besar Melaka Wonderland Taman Tema & Resort, Seow Cheng Swee berkata, terbaru, pihaknya memperkenalkan Taman Dinosaur yang mula dibuka pada 1 Mei lalu.

Berkeluasan 2.4 hektar, menurut Cheng Swee, Taman Dinosaur menampilkan 15 jenis replika dinosaur termasuk fosil dan telur haiwan prasejarah yang sudah pupus sejak 65 juta tahun lalu.

"Lebih menarik, setiap satu haiwan itu dilengkapi sistem pengesan dan bunyi yang membolehkan ia bertindak balas dengan pengunjung iaitu bergerak dan mengaum apabila dihampiri dalam jarak tiga meter.

"Taman Dinosaur ini diwujudkan bagi mempelbagaikan lagi tarikan di Melaka Wonderland tambahan pula, dinosaur adalah antara lapan watak kartun yang menjadi maskot Melaka Wonderland," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Cheng Swee berkata, walaupun sudah mula beroperasi Selasa lalu, Taman Dinosaur masih melalui beberapa proses pengindahan landskap dan kemudahan lain bagi menjamin keselesaan pengunjung.

Antara spesies dinosaur yang terdapat di situ ialah Tyrannosaurus Rex (T-Rex) yang berketinggian lima meter, 12 meter panjang dan berat tujuh tan yang wujud 65 hingga 70 juta tahun lampau.

Turut dipamerkan katanya, ialah spesies Triceratops, Protoceratops, Maiasaura, Sinosauropteryx dan paling mencuri tumpuan ialah Omerisaurus sepanjang 15.2 meter serta sebiji telur dinosaur seberat 50 kilogram.

Empat jenis fosil spesies Yangchuanosaurus, Shounosaurus, Yunnanosaurus dan Yandusaurus turut boleh dilihat di sini.

"Bagi kanak-kanak, kami turut menyediakan pentas untuk mereka menyaksikan pergerakan dan suara haiwan prasejarah menari sambil menyanyi.

"Setiap haiwan ini tidak dipagar bagi membolehkan pengunjung bergambar dengan lebih dekat namun mereka dilarang melakukan aksi seperti memanjat dan sebagainya," tambahnya.

Menyentuh tentang kos membina Taman Dinosaur, beliau berkata, Melaka Wonderland bekerjasama dengan sebuah syarikat dari Singapura membabitkan pelaburan keseluruhan produk daripada China kira-kira RM454,000.

"Dengan adanya produk baru ini, kita jangkakan bilangan pengunjung Melaka Wonderland akan bertambah dengan sasaran lebih 400,000 orang tahun ini," katanya.

Tambahnya, harga tiket dikenakan ialah RM15 dan RM10 bagi setiap dewasa dan kanak-kanak atau warga emas berusia lebih 55 tahun yang dibuka setiap hari Selasa hingga Ahad kecuali Isnin.

Bagi tiket pakej ke Taman Air dan Taman Dinosaur pula katanya, harga dikenakan setiap hari Selasa hingga Jumaat ialah RM36 (dewasa), RM30 (kanak-kanak), RM25 (warga emas).

"Bagi hujung minggu dan cuti umum pula, harga tiket pakej dikenakan ialah RM40, RM35 dan RM25," tambahnya.

Selain itu beliau berkata, Melaka Wonderland turut menyediakan empat harga pakej beserta makan khususnya untuk sambutan hari keluarga serendah RM42 seorang.

Untuk sebarang pertanyaan, orang ramai boleh menghubungi Melaka Wonderland di talian 06-2313333 atau melayari laman web www.melakawonderland.com.my
Sumber dari Akhbar Utusan.......


sumber dari You Tube.......

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...