Sabtu, 14 April 2012

Projek Pelancong Extreme Park Chinchin melaka dalam pembinaan.......




Gambar semasa majlis pecah tanah projek  Extreme Park.......





Tinjauan Mohd Ali Rustam ke tapak projek.......


JASIN 3 Feb. - Kerajaan negeri akan menjadikan Tasik Chinchin di daerah ini sebagai produk pelancongan terbaru di negeri ini yang berpotensi besar untuk dimajukan dengan pelbagai aktiviti pelancongan alam semula jadi.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam berkata, menerusi peruntukan Kementerian Pelancongan berjumlah RM24.9 juta, Tasik Chinchin yang terletak di kawasan seluas 12 hektar akan dilengkapi dengan pelbagai kemudahan tarikan pelancong.

Menurutnya, antara kemudahan yang akan dibina di kawasan tersebut adalah calet, dewan serbaguna, restoran terapung, pelantar memancing, tapak perkhemahan, laluan pejalan kaki dan kawasan berbasikal sepanjang 4.5 kilometer.

"Selain itu, kemudahan lain seperti aktiviti lasak seperti sukan paintball, litar basikal BMX, flying fox, combat obstacle dan sebagainya akan turut dibina," katanya berucap pada majlis pecah tanah projek pembangunan kemudahan pelancongan di tasik itu semalam.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Warisan negeri, Datuk Latif Tamby Chik; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Rambai, Datuk Hasan Rahman; ADUN Serkam, Datuk Ghazale Mohamad; ADUN Merlimau, Roslan Ahmad dan ADUN Rim, Mohd. Yazed Khamis.

Mengulas lanjut Mohd. Ali berkata, kerja-kerja pembinaan kemudahan pelancongan itu sedang dijalankan oleh syarikat Agibs Engineering & Consruction Sdn. Bhd. dan dijangka siap dalam tempoh setahun setengah.

Menurutnya, projek Tasik Chinchin akan dibangunkan sebagai produk pelancongan bertemakan aktiviti lasak yang dijangka mempopularkan daerah itu.

"Saya yakin projek ini dapat menjana pertumbuhan ekonomi yang lebih baik di daerah ini dan juga dapat memberi peluang pekerjaan serta ruang berniaga kepada penduduk," katanya.

Jelasnya, pembangunan kemudahan pelancongan di kawasan berkenaan adalah berdasarkan kedatangan pelancong ke negeri ini yang semakin meningkat setiap tahun.

Tahun lalu katanya, seramai 12.1 juta pelancong direkodkan mengunjungi negeri ini dan untuk tahun ini kerajaan negeri menyasarkan lebih 12 juta pelancong berkunjung ke sini sempena sambutan 750 tahun penubuhan Melaka.




Sumber dari akhbar Melaka Hari Ini.....

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...