Jumaat, 9 Mac 2012

Projek Litar Go-Kart Melaka Telah Siap Pada 2008...

 Litar Go-Kart Melaka



Gambar Projek....

DURIAN TUNGGAL, 3 Dis - Litar Go-Kart terpanjang di Malaysia yang sedang giat dibangunkan di Durian Tunggal, berhampiran Plaza Tol Ayer Keroh, di sini dijangka mula beroperasi Mac tahun depan.

Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian, Perdagangan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Negeri, Datuk Md. Yunos Husin berkata, litar sepanjang 1.6 kilometer bernilai RM10 juta itu, kini mencapai tahap 75 peratus kerja-kerja pembinaannya. 

"Kerja-kerja telah dimulakan sejak 10 Oktober 2007 dan akan siap pada awal Januari depan sebelum diserahkan kepada Lembah Kelang Corporation (M) Sdn. Bhd. untuk mengurus litar ini," katanya kepada pemberita selepas melawat Tapak Litar Go-Kart di sini, hari ini.

Menurut Md. Yunos, walaupun pada awalnya terdapat masalah untuk memperoleh pengiktirafan daripada Persatuan Automobil Malaysia (AAM), namun kerja-kerja masih dapat diteruskan.

"Saya telah mengarahkan semua pihak kontraktor yang terlibat untuk segera menyiapkan litar ini mengikut jadual yang telah ditetapkan.

"Saya juga akan memantau dari semasa ke semasa memandangkan kita tidak punya masa yang banyak," katanya.

Jelas beliau, Litar Go-Kart itu merupakan litar yang banyak menyediakan kemudahan berbanding litar-litar yang terdapat di Malaysia kini.

"Litar ini menyediakan kemudahan seperti akademik, bilik persalinan, bilik mesyuarat, bilik rawatan kecemasan, surau dan beberapa kemudahan lain.

"Trek di sini pula merupakan 'multitrack' yang mana bukan sahaja untuk go-kart, malah turut boleh digunakan untuk sukan bermotor lain seperti Mini Bike, Motosikal dan Drift," katanya lagi.

Medan perlumbaan terbesar di Malaysia yang boleh menempatkan 2,000 penonton dalam satu-satu masa dan dibina di atas tanah seluas 28 ekar itu merupakan ilham yang dicetuskan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam, ke arah menjadikan Melaka hub sukan permotoran terunggul.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...