Gambar Rumah Melaka Di Bukit Katil.....
Berikutan permintaan produk kayu-kayan yang dihasilkan oleh
pengusah-pengusaha dari seluruh Melaka, Kerajaan Negeri Melaka telah mengambil
inisiatif untuk membina dan memajukan sektor kayu-kayan dengan membina sebuah
pusat promosi perabot dan perkayuan atau lebih dikenali sebagai Rumah Melaka. Rumah Melaka akan menjadi pusat promosi dan pameran bagi
produk-produk yang dihasilkan di Melaka. Terletak di Bukit Katil, Rumah Melaka
dijangka mampu menjadi tumpuan pembeli-pembeli produk perkayuan dan perabot
dari seluruh negara serta para pelancong domestik dan antarabangsa.
Kerajaan Negeri Melaka sememangnya bijak dalam
mengekploitasikan sektor perkayuan yang mana dijangka mampu memberi keuntungan
kepada pengusaha-pengusaha tempatan sekaligus mampu mengukuhkan sektor utama
negeri iaitu pelancongan.
Dibina daripada pelbagai jenis kayu-kayan, Rumah Melaka
terbina indah dengan pelbagai ukiran dan mengekalkan ciri-ciri tradisional seni
bina rumah Melayu Melaka. Berikut merupakan artikel mengenai sektor perkayuan
dan Rumah Melaka.
Gambar Semasa Merasmikan Rumah Melaka Di Bukit Katil Melaka...
MELAKA, 18 Mac (Bernama) -- Eksport industri kayu dijangka
mencecah RM23 bilion tahun ini berbanding RM20.52 bilion pada tahun lepas, yang
mencerminkan satu sumbangan kepada ekonomi negara yang masih signifikan.
Timbalan Menteri Kementerian Perusahaan, Perladangan dan Komoditi,
Datuk Hamzah Zainudin berkata Jepun yang dilanda gempa bumi baru-baru ini
merupakan pasaran eksport terbesar negara, iaitu kira-kira 19 peratus.
Selain Jepun, negara utama pengimport industri kayu Malaysia
berdasarkan statistik 2009 ialah Amerika Syarikat (12.2 peratus), India (6.85
peratus), Korea (5.85 peratus), United Kingdom ((4.65 peratus), Taiwan (4.30
peratus) dan Australia (4.11 peratus).
"Oleh kerana eksport kayu berkait rapat dengan ekonomi
sesebuah negara itu, kita menjangkakan permintaan menurun dari negara matahari
terbit itu dan juga pasaran dari negara-negara Timur Tengah," katanya
kepada pemberita selepas majlis perasmian Pusat Promosi Perabot dan Perkayuan
Negeri Melaka (Rumah Melaka) di Bukit Katil di sini Jumaat.
Rumah Melaka yang dibina menggunakan pelbagai spesies kayu
sebagai pusat promosi berharga RM5 juta di kawasan seluas dua hektar
disempurnakan oleh Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam.
Menurut Hamzah, prestasi pasaran eksport boleh ditingkatkan
dengan nilai tambah terutama industri perabot mengikut spesifikasi khas seperti
yang dikehendaki pelanggan.
Pada masa yang sama, beliau berkata industri kayu dan
perabot juga tidak seharusnya bergantung kepada pasaran eksport sebagai salah
satu sumber pertumbuhan utamanya.
"Pasaran tempatan mempunyai potensi mewujudkan kesan
berganda dan mampu mengimbangi cabaran ketidaktentuan pasaran
antarabangsa," katanya.
Beliau berkata langkah mempromosi dan mempertingkatkan kayu
kayan di pasaran tempatan termasuk pembinaan "Rumah Melaka" merupakan
langkah yang tepat dan selaras dengan hasrat kerajaan menerusi Dasar
Perindustrian Kayu Malaysia (NATIP) yang menyasarkan eksport kayu negara
mencecah RM53 bilion menjelang 2020.
Pada masa ini, penggunaan kayu di pasaran tempatan
dianggarkan bernilai RM24 bilion setahun di mana pengguna kayu terbesar di
negara ini adalah di sektor pembinaan yang boleh diperluaskan lagi.
Rumah Melaka, katanya adalah sebuah projek kementerian yang
berpotensi dijadikan hab atau pusat sehenti produk keluaran syarikat
Bumiputera.
Furniture Industry Technology Centre (FITEC) sebuah anak
syarikat milik penuh Majlis Amanah Rakyat (MARA), telah dilantik untuk
menguruskan penjualan produk keluaran Bumiputera di pusat itu.
Dengan bimbingan Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB)
dan FITEC, katanya pengusaha perabot Bumiputera dijangka dapat memperluaskan
jaringan pasaran mereka melalui penyertaan dalam aktiviti dan program yang akan
dijalankan secara berkala di Rumah Melaka.
Prestasi eksport pengusaha kayu Bumiputera meningkat 5.5
peratus kepada RM32 juta tahun lepas berbanding RM30 juta pada 2009.
-- BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan