Rabu, 5 Mac 2014

Cadangan Projek Pulau Warisan Antarabangsa Melaka....














Gambar Cadangan  Projek Pulau Warisan Antarabangsa Melaka....

Sumber Gambar Dari: Gigaland Equity/Projects


Gigaland labur RM70 bilion

MELAKA 18 Jan. - Gigaland Equity Sdn. Bhd. bakal membangunkan tiga projek mega di negeri ini dengan pelaburan berjumlah RM70 bilion yang salah satu projeknya adalah membina pulau buatan terbesar di dunia.

Pengerusinya, Datuk Mohd. Zuraidi Endot berkata, daripada jumlah pelaburan itu, pulau buatan iaitu Pulau Warisan Antarabangsa Melaka Gigaland yang bakal dibina kira-kira 10 kilometer dari Pulau Besar menelan kos paling tinggi iaitu mencecah RM40 bilion.

Menurutnya, dua lagi projek mega iaitu Hab Terminal Minyak dan Petrokimia Gigaland di Kuala Sungai Baru dan pusat pembinaan serta pemasangan Gyrocopter Gigaland di Batu Berendam masing-masing melibatkan kos berjumlah RM10 bilion dan RM20 bilion.

"Pulau Warisan Antarabangsa Melaka Gigaland menjadi antara kebanggaan kami yang bakal mengubah landskap negeri ini kerana pulau buatan itu mempunyai pelbagai keunikan dan keistimewaan tersendiri.

"Pulau berkenaan direka bentuk menepati pematuhan syariah dan akan mengembalikan kegemilangan zaman kesultanan Melayu Melaka melalui konsep bangunan zaman itu termasuk menyelitkan elemen seni bina zaman kolonial dan China," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis pelancaran projek berkenaan dan menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan dua syarikat terlibat iaitu Revraya Sdn. Bhd. dan Jertium Sdn. Bhd. di Ayer Keroh, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Penasihat Gigaland Equity Sdn. Bhd., Datuk Seri Prof. Diraja Sayed Abdul Rahman Sayed Osman Al-Attas.

Mohd. Zuraidi berkata, pulau buatan itu melibatkan dua pulau sebelah menyebelah yang berbentuk dua kuntum bunga raya dengan keluasan masing- masing 364.21 dan 971.24 hektar.

Menurutnya, setiap satu pulau mempunyai keistimewaan tersendiri termasuk padang golf, taman tema, istana berhimpun kerabat diraja antarabangsa, perkampungan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), Universiti Cheng Ho Islam Antarabangsa, hospital dan masjid terapung.

"Pelbagai lagi projek yang dicadangkan di pulau berkenaan seperti kompleks perniagaan bebas cukai, perkampungan budaya, pangsapuri dan menjadi destinasi penganjuran F1 Antarabangsa Power Boat dan menyediakan kemudahan Kastam Diraja Malaysia dan Jabatan Imigresen," katanya.

Beliau berkata, projek pembinaan pulau berkenaan yang bakal dimulakan tahun ini dijangka siap dalam tempoh 10 tahun lagi dan pulau itu nanti akan dihubungkan melalui jambatan empat lorong dan kemudahan trem dari Banda Hilir.


Sumber Artikal Dari: Utusan Online





Gambar Semasa Perbincangan Projek....

Sumber Gambar Dari: Gigaland Equity/gallery

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...