Jumaat, 7 Disember 2012

Projek Pulau Buatan Di melaka....



Mestika Heritage Island, pusat ekonomi bertaraf dunia.


3 Disember 2012 
SERI KEMBANGAN - Projek pulau buatan di luar pantai Melaka, "Mestika Heritage Island", yang dianggarkan mempunyai nilai pembangunan kasar (GDV) lebih RM20 bilion, akan menjadi pusat perdagangan bertaraf dunia yang pertama menjelang 2020.

"Projek ini, yang dijangka menelan belanja RM15 bilion dengan keluasan 600 hektar, akan menjadi pusat ekonomi kepada Malaysia dan seluruh dunia," kata Pengerusi Mestika Megan Sdn Bhd Mohd Jasmi Mohammad Jais kepada media. 

Mestika Megan Sdn Bhd, yang diwakili Mohd Jasmi hari ini menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan konglomerat dari China, Dewan Perniagaan Gansu Qinghai, iaitu pelabur dalam projek mega tersebut.

Dewan Perniagaan Gansu Qinghai adalah satu konglomerat, yang menghimpunkan kesemua perniagaan Islam di China.

Mestika Megan Sdn Bhd turut bekerjasama dengan syarikat EIPU Holdings dan menubuhkan Mestika IEPU JV Sdn Bhd, yang akan melaksanakan pembangunan "Mestika Heritage Island."

Jasmi berkata projek Mestika Heritage Island itu yang dijangka mengambil masa selama lima hingga tujuh tahun untuk disiapkan sepenuhnya dan akan dibahagikan kepada dua fasa.

"Fasa pertama projek ini melibatkan dua pulau yang berdekatan, Kerja-kerja penambakan itu melibatkan lima jenis pembangunan di atas satu pulau yang berkeluasan 256 hektar. Ia akan dimulakan pada awal tahun depan dan dijangka siap dalam tempoh tiga tahun."

"Bagi projek pulau kedua pada fasa pertama, ia melibatkan tujuh jenis pembangunan, yang melibatkan keluasan 280 hektar," katanya, sambil menyatakan bahawa lima projek itu melibat pembangunan rumah kelab dan padang golf, taman tema dan Laguna Villa.

Bagi fasa kedua pula, antara infrastruktur yang akan dibina adalah institut pengajian yang bakal dinamakan "Institut Cheng Ho", pusat perdagangan yang mengumpulkan kesemua 57 ahli peniaga dari negara-negara Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan juga kampung warisan.

Yang turut hadir pada majlis itu ialah Naib Presiden Eksekutif Dewan Perniagaan Gansu Qinghai Ma Hu Cheng.

"Taraf ekonomi Malaysia yang semakin meningkat merupakan faktor utama kami memilih untuk melabur di sini, dan secara tidak langsung menjadikan Malaysia sebuah hab halal terbesar di dunia," kata Ma, melalui seorang penterjemah. 

Ma, bagi pihak Dewan Perniagaan Gansu Qinghai dan China, berkata mereka mahu mengulangi peristiwa sejarah 600 tahun dahulu di mana Melaka merupakan sebuah negara strategik yang dijadikan pusat perdagangan.

Di negara tersebut, Dewan Perniagaan Gansu Qinghai adalah satu syarikat konglomerat terbesar bagi Cina Islam.

Setakat ini, lebih kurang 10 syarikat kontraktor tempatan dan luar negara telah dikenal pasti untuk membangunkan projek terbesar di Melaka itu dan lima daripada syarikat itu akan dipilih untuk membangunkan Mestika Heritage Island. - Bernama





Gambar Semasa Majlis Pertukaran MOU .....



Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...