Khamis, 18 Disember 2014

Cadangan Projek Naik Taraf Lorong Belakang UNESCO....






Gambar Contoh Projek Naik Taraf....
Gambar Diatas Adalah Lukisan Dinding Di Pulau Pinang....


MELAKA 3 Dis. - Tiga kawasan utama di Bandar Hilir yang termasuk dalam Tapak Warisan Dunia dan menjadi tumpuan pelancong akan berwajah baharu tidak lama lagi.

Datuk Bandar, Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Datuk Zainal Abu berkata, menerusi peruntukan RM10 juta daripada Jabatan Warisan Negara, tiga kawasan iaitu Kampung Hulu, Jalan Tun Tan Cheng Lock dan Padang Nyiru akan dinaik taraf menjadi lebih menarik berbanding sekarang.

Menurutnya, projek membaik pulih kawasan seluas 18 hektar tersebut yang bermula sejak Mei lalu dan dijadual siap November tahun depan akan memastikan reka bentuk asalnya dikekalkan sesuai dengan pengiktirafan sebagai Tapak Warisan Dunia oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) pada 2008.

"Kerja-kerja yang dijalankan selama lebih setahun lebih ini melibatkan kerja-kerja membaik pulih jalan raya dan longkang, membina landskap, memasang lampu jalan baharu, menaik taraf persiar jalan kaki, membaik pulih lorong belakang dan memasang papan tanda.

"Apabila siap nanti, ketiga-tiga kawasan tersebut akan menjadi mercu tanda baharu di bandar raya ini apabila seluruh bangunan terbabit akan dicat merah sebagai simbolik memberitahu pengunjung mereka berada di Tapak Warisan Dunia," katanya dalam sidang akhbar selepas menghadiri sesi taklimat mengenai kerja-kerja membaik pulih tiga kawasan Tapak Warisan Dunia di sini hari ini.

Taklimat tersebut turut dihadiri Yang Dipertua Negeri, Tun Mohd. Khalil Yaakob dan Pengerusi Jawatankuasa Perumahan Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar, Datuk Ismail Othman.

Terdahulu Mohd. Khalil membuat lawatan singkat dan meninjau kerja-kerja membaik pulih di kawasan terbabit.

Zainal berkata, sepatutnya kerja-kerja membaik pulih kawasan warisan tersebut sudah bermula pada 2010 tetapi hanya pada tahun ini peruntukan RM10 juta telah diluluskan.

Menurutnya, kerja-kerja tersebut yang dijalankan oleh Syarikat UT Generations Sdn. Bhd. setakat ini berjalan lancar dan dijadualkan siap sepenuhnya pada November tahun depan.

"Kerja-kerja baik pulih itu tidak melibatkan sebarang pembinaan bangunan baharu tetapi sebaliknya masih mengekalkan keadaan struktur bangunan asal dengan penambahbaikan seperti kerosakan pada bangunan terbabit," katanya.

Jelas beliau lagi, apabila siap nanti ketiga-tiga kawasan yang berada di Tapak Warisan Dunia itu akan berwajah baharu dan diyakini mampu menarik lebih ramai pelancong ke situ.

Artikel Penuh: Akhbar Utusan Melayu 


Akhbar Melaka Hari Ini Edisi 19 Disember 2014

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...