Gambar Hiasan....
SINGAPURA - Beberapa perkara kini sedang diteliti untuk dimuktamadkan antara Kuala Lumpur dan Singapura sebelum pelaksanaan langkah berikutnya bagi merealisasikan projek kereta api laju antara kedua negara yang dijangka siap menjelang 2020.
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, kedua-dua pihak kini sangat mengambil berat dan menyokong antara satu sama lain bagi melihat projek itu berjaya.
"Projek ini sangat penting dan kedua-dua negara menyokong projek ini dengan kuat. Ini kerja bersama dan dalam hal tertentu kita perlu muktamadkan," katanya kepada pemberita Malaysia di sini sebelum mengakhiri lawatan kerjanya malam tadi.
Bulan lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan rakan sejawatannya dari Singapura Lee Hsien Loong mengumumkan projek itu selepas mengadakan pertemuan empat mata dan perbincangan dua hala sempena sesi Pemukiman Pemimpin Malaysia-Singapura di sini.
Kedua-dua pemimpin bersetuju usaha itu adalah perkembangan strategik kepada hubungan dua hala yang seterusnya akan meningkatkan kesalinghubungan antara Malaysia dan Singapura.
Menteri Pengangkutan Datuk Seri Kong Cho Ha kemudiannya dilaporkan berkata, pembinaan landasan lebih 400 kilometer itu akan membolehkan waktu perjalanan antara kedua-dua bandar raya dipendekkan kepada hanya 90 minit.
Berdasarkan kajian awal, Kong berkata, lima stesen kereta api baru akan dibina iaitu di Seremban (Negeri Sembilan); Ayer Keroh (Melaka); dan Muar, Batu Pahat serta Iskandar Johor (Johor) menuju ke Singapura.
Mustapa berada di sini bagi liputan misi pelaburan dan pelancongan Kelantan semalam.
Beliau sebelum itu mengadakan pertemuan meja bulat dengan lebih 300 pelabur Singapura sebelum merasmikan program promosi "Let's Go To Kelantan, Malaysia by Firefly" yang dihadiri 700 pemain industri pelancongan di negara ini. - Bernama
Gambar Dari Akhbar Melaka Hari Ini Edisi 31 Oktober 2014....
Video Dari You Tube....
Tiada ulasan:
Catat Ulasan