Jumaat, 20 Julai 2012

Projek Masjid Cina Di Klebang Kecil,Melaka....


 Gambar Semasa Majlis Pecah Tanah Projek Masjid Cina Di Klebang Kecil.....


Gambar Model Masjid Cina Melaka......


20 Julai 2012
MELAKA - Hasrat masyarakat berketurunan Cina Muslim di negeri ini yang inginkan sebuah masjid bercirikan senibina Cina sejak empat tahun lepas bakal direalisasi sepenuhnya menjelang 2014.
  
Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam berkata pembinaan masjid yang menelan belanja kira-kira RM7.5 juta itu akan dibina di kawasan seluas dua hektar di Klebang Kecil, di sini berdekatan Dataran 1Malaysia.
  
"Keseluruhan konsep seni bina masjid itu diilhamkan daripada seni bina di negara China yang didapati daripada kajian masjid serta seni bina di sekitar Beijing, Shanghai dan Xian.
  
"Kerja-kerja pembinaan masjid dijadual mengambil masa 18 bulan dan ia dilaksanakan menerusi dua fasa melalui peruntukan kerajaan persekutuan sebanyak RM5.9 juta manakala RM1.6 juta lagi menerusi dana dan sumbangan pelbagai pihak," katanya pada sidang akhbar majlis pecah tanah masjid di sini, hari ini.
  
Beliau berkata masjid yang akan diuruskan sepenuhnya oleh Majlis Agama Islam Melaka (Maim) itu mampu memuatkan kira-kira 2,000 jemaah pada satu-satu masa.
 
Masjid Cina Muslim yang pertama di Melaka dan ketiga di negara itu akan dijadikan sebagai satu daripada produk pelancongan di samping menarik masyarakat Cina lain mendekati dan memahami Islam, katanya.
  
Masjid itu berteraskan dua kubah dan menara besar dengan dua pintu gerbang serta bumbung berlapis, manakala ruang jemaah pula berkonsepkan pengudaraan semula jadi dan ruang saf yang cukup luas untuk menampung masyarakat Muslim menunaikan solat.

Sementara itu, Presiden Persatuan Tionghua Muslim Negeri Melaka (Pertim) Mohd Mansor Yap Abdullah berkata dengan adanya masjid itu, semua aktiviti dakwah dan usaha untuk meningkatkan syiar Islam dapat dijalankan dengan lebih sempurna.
  
"Saya mewakili masyarakat Muslim Cina di negeri ini melahirkan rasa teruja dan gembira kerana hasrat mereka sejak empat tahun lalu untuk memiliki masjid seumpama itu akhirnya menjadi kenyataan," katanya. - Bernama


Sumber Dari Akhbar Melaka Hari Ini Edisi 21 Julai......

Gambar Projek Masjid Cina Sedang Dalam Pembinaan...
(Gambar Di Ambil Pada 9/3/2014)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...